Remaja Permata Dunia: Menyingkap Cabaran Kehidupan Remaja
Editor: Mohd Rosidi Omar & Husniza Husni, 2022
ISBN 978-967-0031-37-8, 97 hlm., RM25.00
Remaja ialah permata. Merekalah generasi harapan agama, bangsa dan negara. Namun begitu, fasa kehidupan ini ialah satu tempoh masa peralihan dari zaman kanak-kanak ke alam dewasa yang sangat mencabar dan sukar difahami. Perkembangan remaja ialah kompleks dan ia melibatkan interaksi antara proses perkembangan asas biologi, kognitif dan persekitaran unik yang didiami oleh mereka. Dunia remaja sering kali dikaitkan dengan kepelbagaian dilema dengan kecelaruan identiti dan personaliti.
Kesangsian dalam menentukan hala tuju hidup dan keasyikan untuk mencuba perkara-perkara baharu tanpa pertimbangan wajar telah membuatkan remaja hilang arah dalam perencanaan masa hadapan untuk kelangsungan hidup mereka. Perkembangan teknologi masa kini menambahkan lagi cabaran yang harus diharungi oleh remaja yang sangat cenderung kepada ledakan pemodenan dunia siber. Kemajuan sains dan teknologi yang pesat dan global telah mengubah secara total nilai, perlakuan, disiplin dan ciri-ciri remaja.
Mampukah mereka menongkah arus cabaran keremajaan dan menjadi remaja berketerampilan yang bakal meneruskan legasi kegemilangan negara bangsa? Bagaimanakah pula kita boleh mendepani mereka sewajarnya untuk mendidik, membimbing dan memotivasikan mereka? Naskhah ini menelusuri cabaran kehidupan remaja agar kita boleh lebih memahami dan seterusnya membantu, dengan cara tersendiri, agar permata ini terus digilap bersinar meneruskan perjuangan negara bangsa.